Saturday, January 30

Antara Garisan


Aku ada menonton beberapa babak dalam telemovie keluaran Radius One, Antara Garisan lakonan Syarifah Amani, Noorkhiriah, Isma Yusof dan Ismail Abd Aziz. Apa yang menarik hati aku akan telemovie ini adalah temanya. Manusia boleh berubah dalam sekelip mata. Yang baik boleh jadi jahat, dan yang jahat boleh jadi baik.

Bukan tentang tele ini yang ingin aku ulas dalam pos aku ini. Tetapi aku tertarik untuk menghujahkan tema yang disampaikannya. Kadang-kadang manusia tidak sedar akan perkara yang berlaku dalam diri mereka. Walaupun dikurniakan akal, perbuatan daif yang sebati di dalam diri amat sukar ditangkis hingga mereka tidak sedar akan berapa banyak lagi perkara munkar yang telah dilakukan.

Aku berkata sebegini bukan setakat kepada orang-orang fasik di luar sana, tetapi juga kepada manusia-manusia yang alim dan warak. Pada zaman sekarang, umat Islam sibuk menegakkan agama sendiri hingga kadangkala terpesong dari tujuan sebenar. Dek kerana ingin merebut pahala yang melipat ganda, mereka tidak sedar, dalam perjalanan tersebut, dosa-dosa besar yang diambil dan ditanggungnya.

Kita sibuk mengecam orang yang berbuat zalim sesama sendiri dan kepada orang yang lain. Sedangkan kita tidak sedar akan kesalahan diri kita sendiri. Kononnya dengan mengecam orang-orang yang zalim ini, kita bakal diganjarkan dengan pahala lumayan. Rupanya, sekali lagi dalam keadaan tidak sedar, kita sama sahaja seperti mereka.

Dalam dunia, terdapat dua jenis manusia, yang beriman, dan yang fasik. Yang mengumpul pahala dan yang mengutip dosa. Ditengah-tengah kedua manusia ini terdapat satu garisan halus yang kita tidak sedar kewujudannya. Dan tanpa kesedaran ini juga, kedua jenis manusia ini boleh bertukar tempat kedudukan. Yang fasik menjadi beriman, dan yang beriman menjadi fasik. Cukup indah hikmah Tuhan.

Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku pada kita sekarang akan berubah pada masa akan datang. Kita tidak tahu perhubungan insan yang sedang kita jalinkan sekarang bakal hancur pada masa akan datang. Kita sentiasa tidak tahu.

Perkara sebegini turut berlaku dalam kehidupan harian aku. Manakan aku sangka, orang yang paling aku rapat pada masa sekarang, akan menjadi orang yang paling ingin aku jauhi pada masa akan datang. Manakan aku tahu, diri aku yang dulunya sentiasa gembira pada masa dahulu, bakal menjadi gelap gelita pada masa akan datang. Aku sendiri tak tahu.

Apa yang penting adalah keredhaan ke atas Tuhan yang Maha Esa. Kita mesti terima setiap yang Dia berikan. Janganlah asyik menilai dan menghukum orang lain, sedangkan diri kita masih sibuk belajar merangkak. Kita ini bukan apa-apa, cuma segumpal darah yang busuk. Tak punya apa hanya akal dan hati untuk kita pimpini ke akhirat kelak.

Terima kasih kepada telemovie Antara Garisan, kerana memberi ilham aku menulis sebegini rupa, sekaligus memberi manfaat kepada pembaca. Harap ianya berkesan. Alhamdulillah.

1 comment:

  1. cerita ni antara cerita terbaik pernah aku tonton..sebab endingnya jadik terbalik...aku suka..:)

    ReplyDelete

Meh conteng-conteng kat sini meh...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...